Syukur alhamdullillah kerana masih diberi kesempatan untuk bertandang di sini. Saya nak bercerita tentang takdir dan tuah badan.
Ramai kalangan kita amat berkira tentang masa, tentang melakukan tugas-tugas yang bukan dalam senarai tugas hakiki. Kerja lebih sedikit, klem elaun lebih masanya dilebih-lebihkan. Kalau query -berungut.
Saya nak cerita - bukan berhasrat nak bermegah, cakap besar atau nak tunjuk baik. Tetapi saya nak kongsi pengalaman.
Saya mula bekerja dengan kerajaan sejak tahun 1971. Pengarah saya yang pertama adalah bekas pegawai tentera, dan pada dia disiplin amat penting. Tugas mesti dilaksanakan dengan sempurna - walau dengan apa cara sekalipun. Justeru, saya terdidik untuk menghabiskan kerja tanpa mengira waktu. Selagi tak selesai, saya tidak akan pulang.
Setelah lebih 36 tahun berkhidmat, pada Januari 2008 saya memulai zaman persaraan. Seperti orang lain juga, saya lengkapkan borang persaraan, menghabiskan cuti dan bersara pada pertengahan Januari. Saya isi masa terluang itu dengan menyiapkan indek buku-buku perpustakaan saya, saya siapkan blog ini dan berkunjung ke sini lebih kerap. Namun satu hal yang merungsingkan ialah Graduiti tak keluar-keluar. 2 bulan berlalu, tidak juga ada khabar berita.
Saya hubungi pejabat pencen, saya dimaklumkan bahawa proses pembayaran pencen dilakukan di pejabat di Kuching, kerana alamat saya setelah berpencen adalah di Kuching. Saya hubungi pejabat di Kuching itu, dan saya dimaklumkan bahawa borang belum lengkap.
Banyaklah buat panggilan untuk memastikan duduk perkara. Setelah dua bulan bercuti - saya terima panggilan telefon dari pejabat pencen di Kuching memaklumkan bahawa 'kakak belum pencen."
Saya tanya kenapa?
Rupanya dalam sijil kelahiran saya cuma ditulis tahun kelahiran. Itu memang saya maklum, tetapi terlupa bahawa ia memberi kesan terhadap tarikh persaraan saya.
Setelah merujuk kepada Perintah Am, ternyata dalam Bab A disebut dengan jelas bahawa sesiapa yang mempunyai data lengkap maka tarikh itulah yang digunakan bagi tujuan pencen. Kiranya hanya bulan, maka tarikh persaraan adalah pada akhir bulan berkenaan, tetapi sekiranya hanya tahun, maka tarikh persaraan ialah pada akhir tahun berkenaan. Maksudnya tarikh lahir pegawai berkenaan akan dipinda ke tarikh akhir tahun yang tercatat dalam sijil kelahiran.
Dengan yang demikian, saya sebenarnya belum bersara. Setelah meminda tarikh lahir berkenaan saya kembali bertugas.
Apa yang menjadi 'tuah saya' ialah penyambungan itu bukan setakat beberapa bulan menjangkau hujung tahun tetapi menjadi 3-tahun termasuk Januari ke Disember 2008, setelah Pak Lah mengumumkan usia persaraan dilanjutkan kepada 58 tahun.
Apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah segala 'takdir' itu mungkin disebabkan selama ini saya kurang berkira terutama sekali masa untuk bekerja. Saya jarang menuntut elaun lebih masa, bukan kerana gaji besar tetapi saya bersyukur. Bersyukur kerana saya berpeluang bekerja tetap, dengan gaji tetap dan kenaikan setiap tahun. Syukur kerana keluarga saya bahagia, anak-anak saya sempurna dan 5-orang sudah bekerja setelah masing-masing belajar paling tidak di peringkat diploma. Dua daripada mereka sekarang sedang menyiapkan Sarjana Muda - walaupun secara Jarak Jauh .
Saya juga bersyukur kerana kelima orang cucu saya sempurna, sihat, comel-comel belaka. Subhanallah.
Saya amat mengharapkan adik-adik, anak-anak yang baru mendapat kerja-berkhidmatlah dengan penuh dedikasi. Dengan senario sekarang - kita tidak mampu terlalu memilih, tidak mampu terlalu berkira - tetapi komited terhadap apa yang kita lakukan. Kalau bekerja - bekerja sungguh-sungguh, kalau berniaga - berniaga sungguh-sungguh. Biar setiap sen yang kita dapat, berkat dan halal. Kita mungkin kita dapat 'balasannya' hari ini atau esok atau minggu depan, bulan depan atau tahun depan (ada juga yang segera) , atau tidak dalam bentuk wang ringgit tetapi bentuknya mungkin abstrak (kesihatan, rezeki yang tak putus, keluarga yang bahagia) yang datangnya kita tak sedar atau ia sentiasa ada pada kita.
Tengok keliling, fikirkan apa kelebihan yang sedang kita nikmati yang orang lain tidak kecapi. Bersyukurlah.
Menemuramah Datuk Rohani Abdul Karim, Timbalan menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, masa tu baru menang Pilihanraya Parlimen Negeri Sarawak,
Bergambar bersama pengasas dan pemenang Pertandingan Mengandam Pengantin anjuran Zurainas di Kuching. Saya jadi pengacara
Mengacarai Pertandingan Memasak di Kuching.
2 komentar:
Assalamualaikum kak May,
saya sering berbicara dgn Pak Asdy dan pernah sekali ketemu dgn kak May...saya kagum dengan keluarga anda!Saya kenal anak, bapak dan emak sekali gus dalam keluarga ini...Syabas!
Semoga terus berjaya kak May,pakAsdy dan t_qooze!!
Keep in touch!!
assalammualaikom, syabas may, itulah perinsip hidup yang terpuji, tak ramai orang mahu melaksana kan nya tambah-tambah bab makan gaji..tahniah kerana anda gembira dgn tugas anda. salam buat sekeluarga...
Posting Komentar