Hari ini, Rabu dan saya teringat janji lama. Sewaktu bercuti panjang dulu saya berhasrat malah pernah berjanji untuk menyiarkan resipi-resipi Sarawak terutama sekali kuih-kuih lapis. Ini pernah saya lakukan tetapi bila bekerja semula, saya tidak punya kesempatan.
Hari ini OFF. Jadi adalah sedikit waktu.
Beberapa tahun lalu, Kek Lapis merupakan antara hidangan paling ppular di Sarawak. Ia menjadi hidangan wajib bagi setiap kali sambutan Aidilfitri. Kami akan berlumba-lumba membuat dan mencipta kek lapis. Bagaimanapun, kek lapis ketika itu sama nasibnya dengan 'bubur pedas'. Kek lapis hanya muncul pada hari raya.
Masa berubah - Kek lapis sudah menjadi jajaan biasa di pasar-pasar: baik di kaki-kaki lima pasar berhadapan water front, atau di kedai-kedai kek maupun di pasar minggu Jalan Satok. Itu di Kuching. Di tempat lainpun saya rasa keadaan sama berlaku.
Selain itu, satu perkara yang turut menarik perhatian saya ialah semasa ke kedai buku MPH di Bangsar, saya terjumpa buku KEK LAPIS SARAWAK, bukan hasil karya Rubiah Amit atau pembuat kek lapis yang pernah saya kenali tetapi oleh Jamie Jong. Menurut Biodata dalam buku itu, Jamie juga berasal dari Kuching, Sarawak.
Saya cuba bandingkan, terdapat sedikit perbezaan baik dari segi resipi atau nama resipi yang dipaparkan. Contohnya Kek Lapis Pucuk Rebung dipaparkan sebagai Kek Lapis Pucuk Buluh, Kek Lapis Tikar Mengkuang menjadi Kek Lapis Tikar.
Namun itu semuanya adalah kreativiti tukang masak.Seperkara lagi ialah RESIPI KEK LAPIS SARAWAK versi ini ditulis dalam 3-bahasa: Melayu, Cina dan Inggeris.
Saya bangga kerana semakin ramai menceburi bidang ini dan semakin banyak KEK LAPIS SARAWAK berada di Pasaran.
'Hendak seribu daya, tak endak seriu dalih'
Tidak ada komentar:
Posting Komentar