Selasa, 24 Juni 2008

JANJI YANG TERTUNDA

Salam buat teman-teman. Setelah membaharui laman ini seketika lalu, baru ini berpeluang menjenguk kembali.


Saya pernah berjanji biar pertemuan rabu kita dihiasi koleksi resipi. Dan saya berusaha mendapatkan resipi-resipi Sarawak untuk kita kongsikan. Namanya mungkin sama, resipinya mungkin sama tetapi sedikit berbeza dari kawasan ke kawasan, atau dari kedai ke rumah.

Saya akan cuba paparkan resipi 'home made' untuk kita kongsikan bersama-sama. Saya bukan tukang masak, tetapi sedikit pengalaman bekerja dan mencuba, bolehlah memuaskan ahli keluarga.


Hari ini saya nak paparkan resipi 'LAKSA SARAWAK'. Perencahnya boleh didapati di beberapa kedai di SARAWAK. Jadi kalau nak cuba, boleh cari kenalan di Sarawak ... he he he ..... Tapi kan ramai warga Sarawak di sini, yang boleh kirim kalau balik kampung.



Ok, resipi LAKSA SARAWAK.


Bahan:

1 bungkus (300 gram) perencah laksa sarawak (gunakan paste halus)
500 gram udang basah (asingkan kepala dan kupas kulit isinya)
2 ketul dada ayam (Rebus)
500 gram taugeh (dicelur)
Tauhu kering (10 keping – potong kecil)
500ml santan daripada satu setengah biji kelapa
4 bji telur ayam (goreng dadar dan potong kecil)
Garam dan serbuk perasa secukup rasa
1 bungkus bihun (celur dan tuskan)
Beberapa helai daun ketumbar (potong kecil)*/
Kalau tak suka ketumbar boleh digantikan dengan daun sop
6 biji limau kesturi (potong dua)

Cara membuatnya:
1. Buangkan kotoran pada kepala udang dan rebus hingga mendidih. Keluarkan dan blend dan tapis untuk mendapatkan air pati otak udang.
2. Dalam periuk lain, masakkan ayam dan isi udang, bubuh sedikit halia bagi menghilangkan bau hangir ayam. Rebus hingga empuk. Keluarkan isi ayam dan udang, sejukkan.


3. Perencah laksa Sarawak (gunakan paste halus yang tidak perlu ditapis) dikacau dengan sedikit air rebusan ayam, sehingga tidak berketul. Masukan ke dalam periuk berisi air pati otak udang, air rebusan ayam dan isi udang, didihkan. Apabila mendidih, kecilkan api, masukkan santan pekat. Biarkan mendidih sebentar, masukkan sedikit garam dan serbuk perasa.

Cara menghidang:
Sediakan mangkok, masukkan bihun yang telah dicelur. Masukkan isi ayam, isi udang, tauhu kering dan telur dadar. Lepas itu tuangkan kuah laksa Sarawak di atasnya. Hiaskan dengan hirisan daun ketumbar dan limau kesturi. Akhir sekali bubuh sedikit sambal belacan.




Untuk Sambal:
5 biji cili hidup, 10 biji cili padi (kalau suka pedas)
Sedikit belacan



Cara: Tumbuk cili dan belacan bersama-sama hingga sebati. Perahkan sedikit limau, masukkan sedikit garam dan serbuk perasa. (Kalau belacannya masin, tidak perlu masukkan garam).





* Kami di Sarawak menggunakan anak ketumbar yang mempunyai dua atau empat helai daun. Berbeza dengan di Semenanjung, daun ketumbar di pasar-pasar basah atau pasarayanya sebesar pokok daun sop. Boleh juga digunakan tetapi rasanya tidak seenak ‘baby ketumbar’.
**Terima kasih kepada empunya gambar laksa berkenaan, sebenarnya saya tak sempat nak ambil gambar laksa, tetapi kalau nak tengok paparan laksa - ada banyak web dan blog yang memaparkannya. Taip je 'Laksa Sarawak', anda akan dapat saksikan pelbagai paparan, tetapi kata orang kita lebih puas kalau dapat buat sendiri. Bagi yang belum pasti bagaimana, 'datang ke Sarawak - cari kedai muslim - dan nikmatilah-sedapaapp......



Senin, 16 Juni 2008

WAJAH BARU BLOGKU

Salam buat teman-teman kalian. Baru berkesempatan meninjau dan membaiki wajah blogku. Idea ni datang setelah beberapa hari lalu mendengar bicara dan ulasan novel Tirani karya Beb Sabariah yang kami kenali sebagai Cikgu Bibi Sabariah.

Bicaranya ialah kalau mau cantik perlu buat rekonstruksi . "Waheeda mahu menjadi seorang cantik dan berhidung mancung kerana hidung asalnya pesek" Akhirnya dia membuat konstruksi hidungnya setelah kemalangan 'hidungnya digigit monyet'. Walaupun bukan sengaja-sengaja dia membuat pembedahan plastik, namun dengan hidung palsu, Waheeda menjadi cantik dan hidungnya mancung - malah berjaya menjadi ratu cantik.

Ekoran wadah itu, aku terpanggil menukar warna blog yang sudah beberapa minggu kutinggalkan sepi. Aku mahu ia ceria kembali.

Rabu, 11 Juni 2008

BUNGA MUKMIN RATU PARI

Salam untuk teman-teman, selamat atas segala usaha kita semuga beroleh kejayaan dan dirahmati.

Dunia herba semakin popular di kalangan pengguna, baik untuk kesihatan maupun perubatan. Ini disebabkan kebelakangan, kita dapati semakin banyak penyakit 'instant' yang disebabkan pemakanan yang 'instant'. Sebaliknya kita telah banyak membaca dan melihat- bahawa mereka yang menggunakan prosuk asli dari alam lebih sihat dan 'panjang umur'.

Beberapa hari lalu, saya merasa badan saya sakit-sakit. Mungkin masuk angin kerana batuk dan selsema yang agak panjang akibat perubahan cuaca. Saya beritahu menantu saya tentangnya - dia kata cuba minum 'TEH RATU PARI'.

Dengar namapun baru sekali ini, saya kata 'ok'. Ubat atau Jamu? Dia kata 'bukan, dia sejenis bunga yang berasal dari Nepal, bagus untuk mengeluarkan angin dari badan.' Dalam hati saya kata - ok, apa salahnya.

Dia balik dari Johor bawa sebungkus 'Bunga Mukmin Ratu Pari'.
Saya ni, kalau tentang sesuatu yang baru - lebih banyak khuatir daripada yakin. Kekhuatiran itu saya redakan dengan browse internet. Saya carikan 'bunga mukmin ratu pari'. Ada beberapa web mengenianya termasuk http://www.geocities.com/objteam/

Web itu menjelaskan bahawa " Bunga Mukmin juga dipanggil Bunga Ratu Pari tumbuh dikawasan pergunungan Nepal. Ianya telah digunakan sebagai penawar sejak berkurun dahulu. Air dari rendaman bunga ini telah menjadi ratu penawar pada pelbagai penyakit. Harus diingatkan yang Bunga ini bukanlah satu jenis ubat, tetapi lebih merupakan minuman penawar yang boleh diamalkan sebagai satu alternatif kepada ubat-ubatan yang begitu mahal dipasaran dengan pelbagai risiko apabila disediakan secara saintifik dimana kebanyakkannya tidak dapat memenuhi piawaian yang ditetapkan dan sesetengahnya mengandungi bahan kimia yang membahayakan pengguna. Dengan bunga asli yang memang anugerah dari Allah kita mempunyai keyakinan yang ianya tidak memberi kesan yang tidak baik apabila mengamalkannya InsyaAllah. Bunga Herba Perubatan ini juga dalam nama saintifik dipanggil 'GOSSAMPINUS MALABARICA'.

Teh Ratu Penawar adalah nama yang kita berikan kepada rendaman bunga ini kerana khasiatnya yang begitu ketara kepada pengguna. Begitu ramai yang telah memberi kepujian tentang khasiatnya. Bagi mereka yang tidak berpenyakit menyatakan mereka lebih tenaga dan banyak peluh, begitu juga yang mempunyai penyakit Darah Tinggi dan Kencing Manis, Gaut dan yang mempunyai masalah berat badan telah memperolehi hasilnya. Khasiatnya Membantu membuang toksid dalam badan, membantu memulihkan tenaga, menghilangkan bisa-bisa dalam tubuh dan menjadi penawar kepada pelbagai penyakit seperti sakit urat, lengoh dalam badan, Tenaga batin, memelihara badan selepas penat bekerja, kebas kaki tangan, sakit kepala, pitam, melancarkan pembuangan air kecil, batu karang, gastrik, Demam kuning, wanita lepas bersalin dan BUASIR. Terutama sekali (yang selalu mendapat pujian pengguna) ialah untuk darah tinggi, Kencing Manis, lelah dan Gaut serta memecah lemak dan dapat membantu menguruskan badan bagi mereka yang mempunyai masaalah berat badan. "

Apapun penjelasanya, kalau kita tidak yakin ianya tidak akan memberi hasil yang kita harapkan. Sekarang ni saya cuba amalkan - baru hari kedua. Rasanya macam teh tanpa gula - sebab memangpun tak taruh gula. Kesannya banyak buang air kecil, buang angin dan awal pagi buang air besar. Saya rasa serasi kot. Esok-esok saya akan maklumkan kalau ada perubahan. Yang saya paparkan di atas adalah bunganya yang belum dijemur. Yang kita minum adalah rendaman bunga yang telah dikeringkan seperti yang terpapar sebelah kiri ruang ini.

KREATIVITI & IDEA BARU

Salam untuk teman-teman kalian. Syukur Alhamullillah. Kita masih dipanjangkan umur dan dianugerahkan dengan kesihatan, kebahagiaan dan rezeki yang melimpah ruah.

Hari ini, Rabu dan saya teringat janji lama. Sewaktu bercuti panjang dulu saya berhasrat malah pernah berjanji untuk menyiarkan resipi-resipi Sarawak terutama sekali kuih-kuih lapis. Ini pernah saya lakukan tetapi bila bekerja semula, saya tidak punya kesempatan.

Hari ini OFF. Jadi adalah sedikit waktu.

Beberapa tahun lalu, Kek Lapis merupakan antara hidangan paling ppular di Sarawak. Ia menjadi hidangan wajib bagi setiap kali sambutan Aidilfitri. Kami akan berlumba-lumba membuat dan mencipta kek lapis. Bagaimanapun, kek lapis ketika itu sama nasibnya dengan 'bubur pedas'. Kek lapis hanya muncul pada hari raya.

Masa berubah - Kek lapis sudah menjadi jajaan biasa di pasar-pasar: baik di kaki-kaki lima pasar berhadapan water front, atau di kedai-kedai kek maupun di pasar minggu Jalan Satok. Itu di Kuching. Di tempat lainpun saya rasa keadaan sama berlaku.


Selain itu, satu perkara yang turut menarik perhatian saya ialah semasa ke kedai buku MPH di Bangsar, saya terjumpa buku KEK LAPIS SARAWAK, bukan hasil karya Rubiah Amit atau pembuat kek lapis yang pernah saya kenali tetapi oleh Jamie Jong. Menurut Biodata dalam buku itu, Jamie juga berasal dari Kuching, Sarawak.

Saya cuba bandingkan, terdapat sedikit perbezaan baik dari segi resipi atau nama resipi yang dipaparkan. Contohnya Kek Lapis Pucuk Rebung dipaparkan sebagai Kek Lapis Pucuk Buluh, Kek Lapis Tikar Mengkuang menjadi Kek Lapis Tikar.

Namun itu semuanya adalah kreativiti tukang masak.Seperkara lagi ialah RESIPI KEK LAPIS SARAWAK versi ini ditulis dalam 3-bahasa: Melayu, Cina dan Inggeris.

Saya bangga kerana semakin ramai menceburi bidang ini dan semakin banyak KEK LAPIS SARAWAK berada di Pasaran.

'Hendak seribu daya, tak endak seriu dalih'

Jumat, 06 Juni 2008

TAKDIR DAN TUAH BADAN

Assalamualaikum serta selamat bertemu.


Syukur alhamdullillah kerana masih diberi kesempatan untuk bertandang di sini. Saya nak bercerita tentang takdir dan tuah badan.


Ramai kalangan kita amat berkira tentang masa, tentang melakukan tugas-tugas yang bukan dalam senarai tugas hakiki. Kerja lebih sedikit, klem elaun lebih masanya dilebih-lebihkan. Kalau query -berungut.


Saya nak cerita - bukan berhasrat nak bermegah, cakap besar atau nak tunjuk baik. Tetapi saya nak kongsi pengalaman.


Saya mula bekerja dengan kerajaan sejak tahun 1971. Pengarah saya yang pertama adalah bekas pegawai tentera, dan pada dia disiplin amat penting. Tugas mesti dilaksanakan dengan sempurna - walau dengan apa cara sekalipun. Justeru, saya terdidik untuk menghabiskan kerja tanpa mengira waktu. Selagi tak selesai, saya tidak akan pulang.

Setelah lebih 36 tahun berkhidmat, pada Januari 2008 saya memulai zaman persaraan. Seperti orang lain juga, saya lengkapkan borang persaraan, menghabiskan cuti dan bersara pada pertengahan Januari. Saya isi masa terluang itu dengan menyiapkan indek buku-buku perpustakaan saya, saya siapkan blog ini dan berkunjung ke sini lebih kerap. Namun satu hal yang merungsingkan ialah Graduiti tak keluar-keluar. 2 bulan berlalu, tidak juga ada khabar berita.

Saya hubungi pejabat pencen, saya dimaklumkan bahawa proses pembayaran pencen dilakukan di pejabat di Kuching, kerana alamat saya setelah berpencen adalah di Kuching. Saya hubungi pejabat di Kuching itu, dan saya dimaklumkan bahawa borang belum lengkap.

Banyaklah buat panggilan untuk memastikan duduk perkara. Setelah dua bulan bercuti - saya terima panggilan telefon dari pejabat pencen di Kuching memaklumkan bahawa 'kakak belum pencen."


Saya tanya kenapa?


Rupanya dalam sijil kelahiran saya cuma ditulis tahun kelahiran. Itu memang saya maklum, tetapi terlupa bahawa ia memberi kesan terhadap tarikh persaraan saya.


Setelah merujuk kepada Perintah Am, ternyata dalam Bab A disebut dengan jelas bahawa sesiapa yang mempunyai data lengkap maka tarikh itulah yang digunakan bagi tujuan pencen. Kiranya hanya bulan, maka tarikh persaraan adalah pada akhir bulan berkenaan, tetapi sekiranya hanya tahun, maka tarikh persaraan ialah pada akhir tahun berkenaan. Maksudnya tarikh lahir pegawai berkenaan akan dipinda ke tarikh akhir tahun yang tercatat dalam sijil kelahiran.


Dengan yang demikian, saya sebenarnya belum bersara. Setelah meminda tarikh lahir berkenaan saya kembali bertugas.


Apa yang menjadi 'tuah saya' ialah penyambungan itu bukan setakat beberapa bulan menjangkau hujung tahun tetapi menjadi 3-tahun termasuk Januari ke Disember 2008, setelah Pak Lah mengumumkan usia persaraan dilanjutkan kepada 58 tahun.


Apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah segala 'takdir' itu mungkin disebabkan selama ini saya kurang berkira terutama sekali masa untuk bekerja. Saya jarang menuntut elaun lebih masa, bukan kerana gaji besar tetapi saya bersyukur. Bersyukur kerana saya berpeluang bekerja tetap, dengan gaji tetap dan kenaikan setiap tahun. Syukur kerana keluarga saya bahagia, anak-anak saya sempurna dan 5-orang sudah bekerja setelah masing-masing belajar paling tidak di peringkat diploma. Dua daripada mereka sekarang sedang menyiapkan Sarjana Muda - walaupun secara Jarak Jauh .


Saya juga bersyukur kerana kelima orang cucu saya sempurna, sihat, comel-comel belaka. Subhanallah.


Saya amat mengharapkan adik-adik, anak-anak yang baru mendapat kerja-berkhidmatlah dengan penuh dedikasi. Dengan senario sekarang - kita tidak mampu terlalu memilih, tidak mampu terlalu berkira - tetapi komited terhadap apa yang kita lakukan. Kalau bekerja - bekerja sungguh-sungguh, kalau berniaga - berniaga sungguh-sungguh. Biar setiap sen yang kita dapat, berkat dan halal. Kita mungkin kita dapat 'balasannya' hari ini atau esok atau minggu depan, bulan depan atau tahun depan (ada juga yang segera) , atau tidak dalam bentuk wang ringgit tetapi bentuknya mungkin abstrak (kesihatan, rezeki yang tak putus, keluarga yang bahagia) yang datangnya kita tak sedar atau ia sentiasa ada pada kita.


Tengok keliling, fikirkan apa kelebihan yang sedang kita nikmati yang orang lain tidak kecapi. Bersyukurlah.



Menemuramah Datuk Rohani Abdul Karim, Timbalan menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, masa tu baru menang Pilihanraya Parlimen Negeri Sarawak,

Bergambar bersama pengasas dan pemenang Pertandingan Mengandam Pengantin anjuran Zurainas di Kuching. Saya jadi pengacara

Mengacarai Pertandingan Memasak di Kuching.