Jumat, 28 Maret 2008

BELAJAR SEPANJANG HAYAT - TIDAK PERNAH TERLAMBAT

Belajar sepanjang hayat, baik formal atau non-formal, tidak pernah mengenal usia. Sesiapa juga, di mana juga dan bagaimana juga - matlamatnya memperoleh ilmu.

teman-teman sekuliah


Semasa melanjutkan pengajian peringkat sarjana muda, saya berusia 48 tahun dan tamat pengajian pada usia 52 tahun. Pertama, kerana baru ada peluang, kedua anak-anak saya sudah mulai berdikari. Yang bungsu ketika itu sudah 11 tahun. Selain itu pastinya perubahan dan keperluan semasa - paling tidak perlu ada diploma atau sebaiknya degree kalau mahu terus bersaing.




Saya ketika itu bertugas di Sibu, Sarawak. Ada kebaikkannya kerana pelajar UPM jurusan BCOMM cuma empat orang, dua konvensional dan dua lagi on-line. Pelajar konvensional ada kelas, ada tutor tetapi pelajar on line kena cari sendiri bahan-bahan perlu. Pelajar on line juga sepatutnya dapat berhubung dengan pensyarah di kampus induk - tetapi sering sukar dilaksanakan kerana masalah talian dan perhubungan. Justeru kebanyakan masanya kami duduk bersama-sama, saya menumpang berbincang dengan pelajar konvensional. Kami kongsi maklumat. Dan alhamdullillah, semua kami berjaya menamatkan pengajian untuk tempoh yang ditetapkan.



Kenangan paling manis yang pernah kami lalui ialah semasa melaksanakan kertas 'rundingan'. Kami ditugaskan untuk menyiapkan satu rundingan bagi satu lawatan ke Indonesia dan mengadakan projek di dua buah universiti di Indonesia iaitu Universiti Gajahmada, Yogjakarta dan Universitas Indonesia di Jakarta.



Selain rundingan dengan kedua universiti, kami juga perlu berunding untuk mendapatkan dana. Pelajar digalakkan berunding untuk mendapatkan sponsor dan laporan rundingan itu diserahkan kepada pensyarah untuk penilaian. Seronok pergi ramai-ramai. Bilakah mungkin dapat diulangi keseronokan seperti ini.




Gambar kenangan di Borobudur

Tidak ada komentar: