Jumat, 28 Maret 2008

BELAJAR SEPANJANG HAYAT - TIDAK PERNAH TERLAMBAT

Belajar sepanjang hayat, baik formal atau non-formal, tidak pernah mengenal usia. Sesiapa juga, di mana juga dan bagaimana juga - matlamatnya memperoleh ilmu.

teman-teman sekuliah


Semasa melanjutkan pengajian peringkat sarjana muda, saya berusia 48 tahun dan tamat pengajian pada usia 52 tahun. Pertama, kerana baru ada peluang, kedua anak-anak saya sudah mulai berdikari. Yang bungsu ketika itu sudah 11 tahun. Selain itu pastinya perubahan dan keperluan semasa - paling tidak perlu ada diploma atau sebaiknya degree kalau mahu terus bersaing.




Saya ketika itu bertugas di Sibu, Sarawak. Ada kebaikkannya kerana pelajar UPM jurusan BCOMM cuma empat orang, dua konvensional dan dua lagi on-line. Pelajar konvensional ada kelas, ada tutor tetapi pelajar on line kena cari sendiri bahan-bahan perlu. Pelajar on line juga sepatutnya dapat berhubung dengan pensyarah di kampus induk - tetapi sering sukar dilaksanakan kerana masalah talian dan perhubungan. Justeru kebanyakan masanya kami duduk bersama-sama, saya menumpang berbincang dengan pelajar konvensional. Kami kongsi maklumat. Dan alhamdullillah, semua kami berjaya menamatkan pengajian untuk tempoh yang ditetapkan.



Kenangan paling manis yang pernah kami lalui ialah semasa melaksanakan kertas 'rundingan'. Kami ditugaskan untuk menyiapkan satu rundingan bagi satu lawatan ke Indonesia dan mengadakan projek di dua buah universiti di Indonesia iaitu Universiti Gajahmada, Yogjakarta dan Universitas Indonesia di Jakarta.



Selain rundingan dengan kedua universiti, kami juga perlu berunding untuk mendapatkan dana. Pelajar digalakkan berunding untuk mendapatkan sponsor dan laporan rundingan itu diserahkan kepada pensyarah untuk penilaian. Seronok pergi ramai-ramai. Bilakah mungkin dapat diulangi keseronokan seperti ini.




Gambar kenangan di Borobudur

Rabu, 26 Maret 2008

BANDAR SERIAN, SARAWAK - LAMBANG DURIAN



Durian menjadi lambang dan mercu tanda Bandar Serian, daerah yang terletak kira 60 kilometer dari Bandaraya Kuching. Pemilihan Durian adalah kerana serian merupakan daerah pengeluaran buah durian jenis terbaik di Sarawak. Pabila tiba musim buah, serian menjadi 'syurga' durian.

Selain durian, Bandar Serian juga popular dengan tempat-tempat menarik. Antaranya Taman Rekreasi Ranchan yang terletak 5 kilometer dari Bandar Serian. Taman dengan air terjun dari gunung, mengalir di celah-celah batu batan - sejuk dan menyegarkan.

Jumat, 14 Maret 2008

RINDU MENANTI






Dari Meradong hendak ke Sebuti
Singgah di Sibu membeli gula
Apa direnung apa dinanti
orang dijanji tak kunjung tiba
















Rabu, 12 Maret 2008

MERCU TANDA - NANAS SARIKEI





Replika nanas sarikei setinggi 3.6 m yang menjadi lambang kemegahan penduduk Sarikei.



Selain itu, saya amat berharap untuk membuat koleksi lambang-lambang atau mercu tanda bahagian-bahagian di Sarawak, kerana amat menarik dan pastinya mempunyai sejarah tersendiri.




Kali ini dipaparkan mercu tanda Bahagian Sarikei, di Sarawak: NANAS SARIKEI yang menjadi antara sumber pendapatan penduduk bahagian tersebut. Sarikei meliputi kawasan seluas 985 kilometer persegi, terletak di muara Sungai Rajang, dan penanaman nanas adalah antara sumber ekonomi penduduknya, selain lada.



Sarikei boleh dihubungi dengan jalan laut iaitu dengan menggunakan bot ekspress atau jalan darat melalui Pan Borneo Highway.



Kamis, 06 Maret 2008

BUKU-BUKU LAIN



Berikut adalah beberapa lagi buku terbitan Borneo Literature Bureau dari Sarawak dalam kategori di bawah:



















KOLEKSI SASTERA IBAN



Selamat pagi, Selamat bersiap-siap untuk mengundi bagi rakyat malaysia. Saya pasti kalian telah menetapkan calon yang akan menjadi wakil anda di Parlimen atau DUN kawasan masing-masing. Memang akan wujud kempen memburukkan calon lain pada saat-saat akhir, namun saya pasti pendirian kita teguh, keputusan kita muktamad - calon pilihan kita adalah calon yang kita yakin dapat membantu menjamin masa depan kita, anak cucu dan generasi akan datang. Selamat Mengundi.

Beberapa hari lalu, saya meng-indek buku-buku dalam koleksi kami. Selama 4-tahun di Kuala Lumpur, kami sempat kumpul beberapa naskah serta membawa beberapa naskah dari Kuching.

Dalam koleksi itu, terdapat beberapa naskah buku-buku sastera iban. Saya dapati ada beberapa buku menarik yang boleh dijadikan bahan rujukan terutama bagi pelajar-pelajar atau mahasiswa yang sedang mencari bahan sastera tradisi Iban.

Antaranya: Danau Alai yang ditulis oleh Mervyn Skipper yang diterbitkan buat pertama pada tahun 1929 oleh Borneo Literatrure Bureau. Ia kemudian diulang cetak pada tahun 1954 dan diterjemahkan pada tahun 1960. Selain itu dalam simpanan adalah buku Penemu Begiga oleh Jarit Meluda terbitan tahun 1961 dan 1962 (kedua naskah ada dalam simpanan kami), Sungai Borneo oleh Lawrence Sanoun Ijau tahun 1962 dan Dilah Tanah oleh Andrea Ejau tahun 1963.

Selain itu ada beberapa buku mengenai budaya masyarakat Iban - Pengap Gawai Sakit , Pengap Gawai Batu, Pengap Gawai Tajau, Gawai Pangkong Tiang , melah pinang, dan Sabak Kenang. Buku Sabak kenang ditulus Rev. Fr Frederick Rajit. Sebahagian penulis buku berkenaan adalah bekas kakitangan rtm Sarawak, dan bahan diperoleh daripada penyelidikan dan temubual dengan orang-orang yang mahir dalam bidang masing-masing. Sebahagiannya terlibat secara langsung dalam masyarakat yang mengamalkan budaya berkenaan.







Minggu, 02 Maret 2008

MENGISI MASA LAPANG




Kata orang, kalau dah pencen banyak masa terluang. Boleh duduk relax, boleh jalan-jalan, boleh tidur dan makan.



Setelah saya berada dalam kategori tersebut, saya rasa tidak semua orang senang dan bahagia dapat tidur dan makan, jalan-jalan dan relax.




Dua bulan saya memasuki status pencen, saya cuba praktikkan relax, tidur dan makan. Tetapi saya rasa tidak selesa. Relax tidur dan makan saja boleh menyebabkan kita kurang bermaya, tak bertenaga, boring, sunyi dan kita banyak berkomunikasi seorang diri.




So - saya giatkan usaha mengindex buku-buku, curi sedikit masa untuk menjahit dan bertanam bunga. Cuma tinggal di pangsapuri, agak sukar bertanam kerana kawasan kecil dan kurang sesuai. Justeru saya tumpukan masa kepada buku. Setakat ini sebanyak seribu-naskah telah diindex daripada pelbagai kategori. Paling banyak adalah sastera kerana suami saya orang sastera (http://pantunonline.com/).


Salah sebuah buku yang menarik perhatian saya ialah 'Esok hari Bahagia' oleh Abdullah Sidek. Cetakan pertama buku ini dalam tulisan jawi tahun 1948 dengan judul ‘Tersungkur’ oleh Dinas Printing, Johor Bahru. Dulang cetak dengan judul yang sama pada tahun 1959 oleh Alhamdullillah Press, Singapura. Diterbitkan semula dalam bentuk edisi pelajar oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1976 dengan judul ‘Esok Hari Bahagia’. Mulai terbit dalam siri Perpustakaan Sekolah DBP bil 188.



Selain itu sebenarnya banyak lagi buku dalam simpanan kami. Sebab itu perancangan kami, bila balik ke Sarawak nanti, kami nak hidupkan kembali perpustakaan mini di rumah. Kami pernah menang pertandingan 'mini library', tetapi pabila kurang ruang kerana anak-anak sudah meningkat remaja, maka buku-buku yang dulunya disusun pada rak, terpaksa dimasukkan ke dalam kotak. Atau sebahagiannya telah dimusnahkan anai-anai. Lagipun tiada masa untuk menguruskannya.




Setelah bersara, saya berhasrat memulakan perpustakaan mini berkenaan kerana punya banyak waktu untuk menguruskannya.