Senin, 30 November 2009

MENARIK HARI DALAM BERITA WILAYAH :SARAWAK

Sesekali akan ku paparkan di sini antara berita menarik yang kami muatkan ke dalam Berita Wilayah dari Sarawak.

1. Jabatan Pertanian sedang mengenalpasti kawasan-kawasan yang boleh dijadikan kawasan tanaman padi dan sayuran organik. Jabatan juga akan membuat penyelidikan tentang kaedah penanaman rumbia sekarang. Ini sebagai memenuhi hasrat kerajaan menjadikan Sarawak negeri pengeluar makanan organik.

2. Projek Tebatan Banjir akan siap mengikut jadaul. Kementerian bertanggungjawab akan memastikan semua tahap projek dikendalikan dalam masa yang ditetapkan.

3. Kajian untuk mengelak kepupusan Okang akan dijalankan oleh institusi akademik tempatan dan luar negeri. Selain memastikan monyet kecil ini terus wujud, ia juga bagi mengenalkan populasi, habitat dan jenis-jenis makanannya.

HOBI BAHARU......FOTOGRAFI

Saya sedang membina hobi baru - fotografi.

Dengan menggunakan kamera Olympus SP 570uZ (pinjam camera anak] saya cuba rakam sebanyak mungkin gambar dan sekali gus menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan.



Bunga ati-ati hijau ........


Lagi spesis bunga ait-ati ........


Si cantik manis : ati-ati


Dalam pencarian sudut yang sesuai untuk fotografi, saya terpandang seekor tabuan hinggap dari bunga ke bunga .... antara aksi-aksi menariknya ....



Juga ku temui seekor rama-rama yang telah koyak sayapnya, hinggap di atas bunga ati-ati merah. Mungkin sekuat itu hasratnya meneruskan kehidupan yang sering mencabar kesabaran.


Seketika kemudian, hujan turun dengan lebatnya. Bunga yang tadinya kelihatan tidak bermaya kini kembali segar bugar. Titis-titis air masih melekat pada helaian dedaun dan kelopak bunganya.



Kalaulah kita boleh dengar, pasti pepohon-pohon itu berdoa, bermunajat kepada Allah yang telah menurunkan hujan, menyejar kembali dirinya.

Sabtu, 28 November 2009

HARI RAYA KORBAN

Assalamualaikum dan selamat Hari Raya Aidiladha. Syukur kerana kita dipanjangkan usia, dikurniakan kesihatan dan dapat sama-sama kita merayakannya.

Syukur juga kerana saudara kita yang berada di Tanah Suci berada dalam keadaan selamat. Syukur Alhamdullillah.

Ni nak cerita tentang beza sambutan hari raya Aidilfitri dan hari Raya Aidiladha.

Di Sarawak terdapat perbezaan yang ketara.

Tahun ini kami di RTM Kuching korbankan seekor lembu. Kami kongsi dan seekor disumbangkan oleh seorang YB.

Syukur ada juga YB nak tambah lembu korban kami tahun ini. Dan terima kasih kepada BAKTI yang berusaha membolehkan aktiviti itu dijalankan.


Tengoklah wajah-wajah ceria kami membuat persediaan: mengupas bawang, hiris halia, lengkuas dan dah siap sedia nak masak. Tetapi kami mulai risau apabila lembu yang kami nanti tidak juga sampai hingga jam 9 pagi. Bagaimanapun akhirnya datang juga.

Untuk memudahkan urusan, kami wanita memasak dan yang lelaki terlibat dengan kerja-kerja penyembelihan.

Beberapa menu kami sediakan. Nasi putih, lauknya pula ialah sayur nangka masak lemak, sambal 'asam embang', sambal tumis kulit asam embang, goreng ikan terubuk masim dan tentunya daging korban kami masak kari dan sup.

Kami datang awal, jadual pemyembelihan jam 8 pagi, tetapi mungkin disebabkan banyak tempat persinggahan, maka lembu pertama datang kira-kira jam 9 pagi - dah lambat sebenarnya kerana hari dah panas terik. Tetapi nak buat macam mana, urusan tu dibuat di kawasan redup, jadi taklah terasa panas sangat.


Badannya sedarhana saja tetapi comel.

Pastinya dia bersyukur kerana dia menjadi korban bersama-sama rakan-rakan yang terpilih sempena Aidiladha.

Sebab itu ketika hendak disembelih, 'dia' seolah-olah redha.

Ketika kakitnya diikat, dia tak melawan, demikian juga ketika disembelih. Subhanallah.

Selesai disembelih, dagingnya dilapah dan sebahagiannya dibuat lauk untuk makan tengahari.

Saya, Hajah Maria dan Hajah Hasnah sibuk memasak kari. Tentang masak, saya taklah pandai sangat, tetapi kalau tolong kacau, bolehlah tahan. Tak percaya tanya mereka yang makan hari tu, sampai 'licin' periuk.


















Daging korban diagihkan kepada kakitangan serta mereka yang layak menerimanya.

































Paling seronok ialah bila kami sama-sama bergotong royong membuat persiapan memasak, kemudian menumis ramuan, memasak dan akhir sekali MAKAN.

Sabtu, 14 November 2009

PENGALAMAN KURSUS IKAN KELI



Wah, selesai kursus baru diketahui bahawa banyak juga halangan nak meneruskan cita-cita.


Sebelum kursus, kami amat teruja nak mulakan. Maklumkah orang kata ternak ikan keli mudah, lebih mudah daripada ikan-ikan lain. Kami telah bayangkan kolam kanvas 6 - 7 buah yang boleh menghasilkan ribuan ekor ikan keli dalam tempoh beberapa bulan.



Kami juga bayangkan sebahagian daripada lebih 30 peserta kursus tiga hari itu akan menjadi pembekal anak ikan, dan mungkin sebahagian akan menjadi peraih. Kami juga akan menjadi satu pasukan yang akan menghasilkan anak ikan [mana dulu ye, induk ikan atau anak ikan].... mana-manalah.


Pokoknya sebahagian jadi pembekal anak ikan, sebahagian ternak ikan keli dan sebahagian pula akan menjadi usahawan ikan keli. Tidak kurang yang akan menjadi pengusaha ikan keli kering, bebola ikan keli, lele dan mancam-macam produk daripada ikan keli. Dan penceramah juga kata ternak ikan keli lebih mudah: ikan keli tahan penyakit, tidak memerlukan kawasan yang besar, tidak cerewet. Semangat terus berkobar-kobar.

Tiba-tiba seorang peserta bertanya: kalau kita semua nak ternak ikan keli, bagaimana pasarannya?

Dewan seminar menjadi senyap.


Penceramah tanya 'Berapa orang yang gemar makan hidangan keli?'


Kelas tergemam, kerana hanya beberapa kerat yang mengangkat tangan. Apakah kerana mereka tidak gemar ikan keli, atau ................

Di Sarawak, ikan Keli memang kurang mendapat sambutan. Orang Sarawak kurang makan ikan keli disebabkan persepsi ikan keli tinggal dalam lopak, longkang atau sebahagian tidak makan keli kerana keturunan. Jadi market ikan keli di Sarawak kurang sambutan. Bagaimanapun kalau kita fikirkan, walaupun industri ikan keli kurang sambutan kini, kami yakin pabila SCORE beroperasi sepenuhnya, permintaan dijangka lebih baik.

Pada hari ketiga, kami dibawa ke lokasi - Pusat Latihan Semenggok. Kami dibawa melawat kolam ternakan keli dan kebetulan waktu itu petugas sedang menyuntik hormon kepada ikan-ikan yang matang. Kami melihat bagaimana ikan-ikan induk dipilih dari kalangan ikan-ikan dalam kolam ternakan induk.

Ini sebahagian ikan di dalam kolam yang ditangkap dengan jaring. Ikan betina yang bertelur akan diasingkan ke dalam tangki untuk bertelur.



















Selepas itu kami dibawa melawat ladang ternakan keli di Kampung Menaul. Seorang anak muda berjaya menternak ikan dan menghasilkan anak-anak keli. Menurut Sumantri, 25 tahun perusahaan ini dimulakan keluarga sejak 1993. Ibunya adalah pemenang Anugerah Peladang Jaya, jadi tidak hairan, Sumantri gigih mengikut jejak langkah keluarganya.

Bagaimanapun kejayaan anak muda ini bukan mudah. Walaupun perusahaan sejak awal tahun 90-an, namun proses menghasilkan anak ikan melalui pengalaman pahit.

10-kali cubaan baru berjaya. Malah seringkali anak-anak ikan mati dengan banyaknya. Selain kerana kurang ilmu, pengalaman juga penting.


Pengalaman itu digunakan anak muda ini memperbaiki prestasi, akhirnya dia merupakan antara usahawan ikan keli yang berjaya.

Menurut usahawan muda ini, permintaan terhadap anak-anak keli sangat baik sehingga dia tidak 'memang' memenuhi permintaan pelanggan.


'Tiada jalan mudah untuk berjaya, melainkan perlu berkorban tenaga dan wang ringgit'.


Kami setelah mengikuti bengkel 3-hari, belum tentu dapat melaksanakan penternakan itu dengan jayanya. Pasti banyak liku yang pernah dilalui. Aku dah beli 20-ekor anak keli sebesar 2", pagi tadi aku lihat masih besar itu juga. Makan dua kali sehari, airnya sudah dua kali tukar.


Pasti ada kaedah yang belum betul menyebabkan anak-anak ikan itu tidak besar-besar.
Adakah sesiapa yang boleh bantu agar ikan-ikan keli ku?

Selasa, 03 November 2009

KURSUS MENTERNAK KELI

Assalamualaikum, selamat bertemu lagi.

Lama tak ke mari, namun hari ini ku gagahi diri untuk berkunjung.

Sebenarnya hari ini kami hadiri kursus MENTERNAK KELI, kerana khabarnya menternak keli boleh mendatangkan rezeki tambahan serta sedang mendapat permintaan tinggi.

Pembimbing dari Jabatan Pertanian dan pesertanya adalah kami yang berkobar-kobar semangat nak memulakan perusahaan.

Sepanjang siang tadi, ceramah cara memulakan perusahaan - cara nak kenal kaedah pemeliharaan: tangki simen atau plastik, atau kolam. Kami juga diberitahu langkah-langkah memulakan dan meneruskan perusahaan.

Memang teruja tetapi apakah semangat yang membakar itu akan terus membahang atau hilang kerana dalam apa juga usaha tentu ada pro dan cons.

Antara pro tentu saja ia akan menjadi salah satu aktiviti selepas bersara, tetapi masalah - apakah akan ada pembeli. Atau bagaimana dengan networking yang akan diwujudkan kerana ini merupakan antara langkah awal menceburi bidang perusahaan dan peniagaan.

Sekarang bekerja dengan kerajaan, cukup bulan dapat gaji - menternak belum tentu. Bekerja sendiri [mungkin boleh jadi tokey] tetapi disiplin kena kuat.

Kena patuh jadual dan perancangan: kalau tidak mungkin lebih banyak masalah daripada penyelesaian.

Kami tengah cari mereka yang berpengalaman menangani hal-hal berkaitan penternakan ikan keli.

Kursus dan bimbingan Jabatan Pertanian memang ada - tetapi sebagai pengusaha tentu masalah yang dihadapi berbeza. Kalau ada sesiapa yang boleh berkongsi pengalaman........ Terima kasih.