Sabtu, 23 Februari 2008

TIADA KEBOSANAN DALAM HIDUP

HIDUP TIDAK AKAN MENJADI BOSAN kalau kita dapat kendalikannya dengan baik. Kita mempunyai banyak pilihan - buat tak nak buat, boleh tak boleh, mampu tak mampu, ada masa takda masa. Semuanya kita yang tentukan.

Ada teman-teman yang bersara (tidak ramai) yang gusar dan rungsing - tak tau apa nak dibuat? Itu mungkin disebabkan berubah perancangan, sebab saya tidak percaya orang yang nak bersara itu tidak bersedia. Semua orang tau - bila tiba usia 55 atau 56 (melainkan bersara atas pilihan sendiri) seseorang penjawat awam pasti bersara. Tidak ada pilihan. Kita tak boleh nak kata, 'Oh aku belum bersedia nak bersara, sambung ajaklah kerja." tak boleh.

Justeru bila seseorang itu berusia 50an, dia sepatutnya telah menyediakan diri untuk bersara.

Kepada pesara dan bakal pesara, saya nak kongsikan beberapa tips atau petua yang saya petik dari buku 'DUNIA PESARA' oleh Haji Abdul Halim Haji Hassan. Daripada 40 yang diberikan saya nak petik 5 daripadanya. Yang lain kalau perlu esok-esoklah kita buat, ok?

Menurut Haji Abdul Halim, seseorang pesara akan berhadapan dengan pelbagai situasi baru. Oleh yang demikian:

1. Cari Kebahagiaan dan jadilah orang tua yang boleh diketengahkan. Menurut penulis buku ini, baki hidup seorang pesara tinggal tidak sampai separuh daripada jumlah masa hidupnya. Oleh itu katanya, kita perlu mencari kebahagiaan, senangkan hati dan jangan suka bermasam muka. Cari masa untuk bersama-sama dalam masyarakat. Sertai aktiviti kemasyarakatan dan lakukan tugas-tugas yang bersesuaian.

2.Luaskan lingkaran pergaulan. Jangan mengasingkan diri daripada orang ramai. Sebaliknya gunakan masa yang banyak itu untuk merapatkan semula hubungan keluarga, sahabat handai atau mungkin teman-teman yang lama tidak ditemui. Haji Halim juga menyarankan agar kita mengambil kesempatan untuk bertemu teman-teman ibu/ayah kita atau ipar duai. Luangkan masa, pulang ke kampung atau lawati mereka.

3. Jadi pesara yang kreatif. Pengalaman yang luas selama bekerja pasti boleh digunakan bagi mengisi masa lapang. Pesara boleh menguruskan rumah tangga dengan kreativiti. Tetapi kreatif harus bertempat. Jangan jadi seperti seorang teman saya yang juga baru bersara. Dia telah menggunakan kreativiti untuk mengubah susun ruang tamu. Tetapi apabila isterinya balik ke rumah setelah penat seharian bekerja - dia berleter kerana barang-barang yang diletak di satu sudut sudah tidak boleh dicari. Kawan saya ni pula pelupa, dia tak ingat di mana dia letakkan... akibatnya bergaduh. Bagaimanapun, kerana dah tau perangai masing-masing, masam muka tu tak lama. Syukurlah.

4. Jadilah pesara yang matured dan armoured. Haji A Halim juga menyarankan agar pesara menjadi seorang yang boleh menyesuaikan diri, realistik dan mempunyai pandangan yang membina mengenai pesaraan. "In life, what sometimes appears to be an end, is really a new beginning."

5. You Do what you like to do and you like what u do. Saya suka bahagian ini, kerana bila bersara kita bebas dari kongkongan jadual kerja yang berdisiplin. Bila bersara, kita bebas mengatur masa, kita bebas membuat apa yang kita suka asalnya jangan merusakkan diri kita. Jadi kita isi masa lapang kita yang banyak itu dengan melakukan apa yang kita suka - pada kadar kemampuan kita.

Itu 5 perkara yang sempat yang petik dan kongsikan. Kalau anda ada pandangan atau tip yang boleh dikongsi, tak kiralah anda pesara, bakal pesara atau keluarga kepada pesara, anda dialu-alukan berkongsi pendapat atau pengalaman.

Kepada penulis buku ini, terima kasih kerana ia saya jadikan salah satu bahan bacaan pada waktu-waktu senggang.

Tidak ada komentar: